Monday, August 3, 2009

Rebana (Alat Muzik Tradisional Melayu)

Rebana ialah alat muzik jenis genderang dan dikategorikan sebagai alat muzik membranofon. Alat muzik ini terdiri daripada satu bingkai berbentuk bulat, separa kon seperti cawan atau mangkuk dan mempunyai saiz ketebalan dan diamater yang berbeza. Bingkai rebana diperbuat daripada kayu nangka, kelapa, sena atau merbau dan kebiasaanya, kayu nangka menjadi pilihan utama kerana kayu tersebut lebih berkualiti. Rebana mempunyai satu permukaan kulit gendang dan kulit tersebut adalah kulit lembu atau kambing. Kulit gendang ini dikenali sebagai belulang (kulit haiwan yang kering). Belulang ini diikat dan diregang dengan siratan rotan dan diikat pada bahagian bawah bingkai. Ketegangan belulang dikemaskan dengan pasak-pasak kayu yang diselitkan pada celah-celah rotan antara cincin (rim) dan bawah bingkai (juga dikenali sebagai kaki bingkai). Kualiti bunyi dan nimonik yang dihasilkan oleh sesebuah Rebana bergantung kepada saiz, ketebalan bingkai, jenis kulit dan kayu serta cara paluan tangan. Kebiasaanya rebana terdiri daripada beberapa pasang dan menghasilkan rentak yang bertelingkah. Rebana dimain dengan paluan tangan dan rebana bersaiz besar seperti Rebana Ubi dimain dengan menggunakan pemukul kepala berbalut kain atau getah. Rebana digunakan untuk mengiringi lagu-lagu budaya.
Terdapat pelbagai jenis rebana, antaranya ialah :

a) Rebana Ubi :
Merupakan sejenis rebana bersaiz besar dengan ukuran 0.7m diamater dan 1m tinggi. Rebana jenis ini biasanya dimainkan oleh penduduk kampung untuk keraian selepas menuai padi atau festival pertandingan dan juga upacara atau majlis perasmian tertentu. Rebana ubi ini dimain secara bertelingkah dan menggunakan pemukul dengan kepala berbalut kain atau getah. Rebana ubi ini dimain secara mendatar atau mengereng. (Matusky, 1985). Rebana Ubi turut dihiasi dengan pelbagai warna dan corak-corak seperti batik. Disebabkan saiz rebana tersebut besar, kualiti bunyi yang dihasilkan oleh Rebana Ubi adalah rendah, tebal dan kuat.

b) Rebana Kercing / Tar Rodat :
Sejenis rebana bersaiz kecil dengan 3 pasang kerincing / kercing (jingles) yang diperbuat daripada logam tembaga dan terletak pada bahagian tengah bingkai. Rupa rebana ini seperti tambourine dan “Tar” bermaksud gendang didalam bahasa Arab, Mesir serta komuniti Teluk Timur Tengah. Ia menunjukan bahawa alat muzik ini berasal dari sekitar kawasan tersebut (Nik Mustapha, 1998). Rebana Kercing ini dimain dengan paluan satu tangan pada permukan kulit gendang.

c) Rebana Penganak :
Rebana Penganak datang didalam bentuk pasangan yang terdiri daripada Rebana Ibu (bersaiz besar) dan Rebana Anak (bersaiz kecil). Ketegangan belulang (kulit genderang) ini ditambah dengan menyelitkan sebatang rotan halus antara cincin (rim) dengan bingkai (badan) pada bahagian dalam bingkai. Rotan tersebut diselitkan dengan bantuan baji (sejenis sisip kayu yang tirus) yang akan membuka ruang antara belulang dengan cincin. Rebana ini dimain dengan paluan dua tangan dan diletakan pada bahagian peha pemain. Rebana Ibu menghasilkan ton bunyi yang rendah dan sederhana tinggi (bass), manakala Rebana Anak menghasilkan ton bunyi yang tinggi. Rebana ibu menyediakan rentak asas, manakala Rebana Anak memainkan rentak yang laju dan ritma yang diimprovisasikan atau dikenali sebagai "bunga". Ritma yang kompleks dan bertelingkah, dihasilkan oleh kedua-dua rebana tersebut.

d) Rebana Pengerum :
Rebana Pengerum terdiri daripada 10 atau 8 buah Rebana. Cara rebana ini dimainkan adalah sama seperti Rebana Penganak. Pemain akan memainkan rebana sambil menyanyi. (Nik Mustapha, 1998).

e) Rebana Dikir Barat :
Terdiri daripada dua jenis Rebana iaitu Rebana Ibu (bersaiz besar) dan Rebana Anak (bersaiz kecil). Rebana Dikir Barat menggunakan belulang kambing yang dipasang pada bingkai atau badan dengan siratan rotan dibawah rebana (kaki). Ketebalan bingkai rebana ini tidak begitu tebal (0.13 – 0.15m) dan permainan Rebana Dikir Barat ini mestilah terdiri daripada pasanganya iaitu Rebana Ibu dengan Rebana Anak. Rebana Ibu kebiasaanya akan memainkan rentak asas, manakala Rebana Anak akan memainkan rentak yang lincah dan laju. Rentak yang dihasilkan oleh kedua-dua rebana ini sentiasa bertelingkah. Rebana-rebana ini dimainkan dengan paluan satu tangan. Selain dimainkan didalam muzik Dikir Barat, rebana ini turut dimainkan didalam muzik tarian Main Putri. (Nik Mustapha, 1998)

Kini, rebana telah diubahsuai bagi memudahkan pemain untuk bermain dan juga menyesuaikan alat muzik tersebut untuk dimainkan didalam muzik-muzik genre lain. Rebana moden tidak menggunakan belulang (kulit haiwan kering-gendang), dimana belulang ini digantikan dengan kulit gendang sintetik dan kulit gendang ini diapitkan dengan rim (sejenis kepingan logam seperti cincin besar). Rim ini disambung dengan rod penegang (tension rode) dan pemegang cuping (lug). Alat-alat baru yang ditambah ini adalah sama yang terdapat pada sesebuah gendang snare atau gendang tom. Ketegangan kulit gendang ini diubahsuai sama seperti penalaan (tuning) gendang snare atau tom. Dengan menggunakan kulit sinstetik ini, ketegangan kulit boleh diubahsuai dengan mudah, tahan dengan pelbagai suhu dimana ton bunyi rebana ini tidak mudah untuk berubah dan kekuatan bunyi yang dihasilkan adalah kuat tetapi, bilangan nimonik yang boleh dihasilkan adalah kurang jika dibandingkan dengan rebana tradisional.

(Ulasan)
Ainol Naim B. Az
izol
Ogos 2009

Sunday, June 28, 2009

Reason : Sintesis Subtraktor - Ulasan

Sintesis Subtraktor Analog– juga dikenali sebagai Sintesis Subtraktor Polifonik, sebuah sintesis subtraktif dengan 99 polifoni dan gelombang bunyi dibentuk oleh dua osilator (oscillator) iaitu osilator 1 dan osilator 2. Setiap osilator menyimpan 32 jenis bentuk gelombang yang boleh dipilih dan bentuk gelombang yang dipilih ini boleh dimodulasikan dengan menggunakan modulasi luar fasa (phase offset modulation). Sintesis ini mempunyai 5 bahagian utama dan setiap bahagian ini merupakan rantai proses pembentukan bunyi.

Proses dimulakan pada bahagian osilator yang berasaskan osilator jenis VCO (Voltage-Controlled Oscillator), dimana pada bahagian ini, bentuk gelombang dari bunyi asas yang telah dimuat turun, akan ditukar mengikut pemilihan bentuk gelombang yang dikehendaki. VCO menyediakan bentuk-bentuk gelombang yang asas. Dengan adanya dua osilator ini, bentuk gelombang yang dipilih ke atas setiap osilator boleh digabungkan untuk mendapat bentuk dan sifat gelombang yang baru. Peringatan: Gelombang-gelombang ini merupakan gelombang elektrik (gelombang elektromagnet) dan bukan gelombang bunyi (gelombang mekanikal). Pada asasnya, gelombang bunyi dari alat-alat muzik akustik yang telah dirakam secara digital, akan ditukarkan kepada bentuk gelombang elektrik, dan bunyi yang dimainkan semula akan dijanakan melalu gelombang elektrik kepada gelombang bunyi melalui pembesar suara. Jadi, sebelum gelombang bunyi terhasil, pengubah suaian hasil gelombang bunyi boleh dibuat ke atas gelombang elektrik.

Gelombang yang telah dipilih seterusnya akan disalurkan ke bahagian kedua iaitu bahagian “filter”/ “frequency filter”. yang berasaskan VCF (Voltage-Controlled Frequency). Pada bahagian ini, nilai fekuensi-frekuensi gelombang akan dipilih dengan memotong bahagian frekuensi yang tidak dikehendaki.

Seterusnya, gelombang tersebut akan dipindahkan ke bahagian “Amplitude Envelope” yang berasaskan VCA (Voltage-Controlled Amplitude). Pada bahagian ini, sifat amplifikasi gelombang bunyi yang bakal dijanakan akan dibentuk iaitu ADSR (Attack, Decay, Sustain, Release)

A (Attack) – mengawal tempoh amplitud gelombang untuk mencapai amplitud maksimum. Jika nilai A (Attack) tinggi / maksimum, sebaik sahaja anda mengaktifkan bunyi, bunyi maksimum akan dihasilkan dengan pantas.

D (Decay) – menentukan tempoh untuk sesuatu amplitud gelombang turun sampai ke bahagian S (Sustain) dari puncak awal amplitud bahagian D (Decay).

S (Sustain) – menentukan nilai amplitud gelombang untuk kekal / malar sebelum mencapai bahagian (Release). Bahagian ini mengawal nilai amplitud (kekuatan bunyi) untuk kekal dan bukan tempoh.

R (Release) – menentukan tempoh untuk bunyi semakin hilang (fade) selepas sesuatu bunyi dihasilkan pada tempoh awal. Contoh, tempoh bunyi simbal untuk beransur hilang selepas bunyi yang dihasilkan dari tempoh awal apabila diketuk.

Selepas gelombang diproses pada bahagian “Amplitude Envelope” proses gelombang diteruskan kepada bahagian ke empat iaitu “Filter Envelope” dan “Mode Envelope”. Pada bahagian ini, gelombang dapat dimodulasikan untuk mendapat pelbagai bentuk ADSR.

Bahagian terakhir (bahagian kelima) adalah osilator frekuensi rendah atau LFO (Low-Frequency Oscillator dan terdapat dua LFO iatu LFO 1 dan LFO 2. Bunyi yang kasar dan herot (distorted) boleh dihasilkan melalui LFO.

Kebiasaanya, sintesis ini digunakan ke atas bunyi-bunyi normal seperti bunyi-bunyi alat muzik serta suara dan bukan bunyi-bunyi kesan khas atau elektronik. Prestasi sintesis ini hampir sama dengan sintesis kibod Roland SH-101.

(Ulasan)
Ainol Naim B. Azizol.
Jun 2009

Reason (DAW) -Ulasan

Reason merupakan sebuah Digital Audio Work Station (DAW) dalam bentuk perisian komputer muzik jenis sekuenzer MIDI. Perisian Reason telah dibangunkan oleh syarikat perisian komputer Propellerhead yang berasal dari Stockholm, Sweden. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1994 dan diasaskan oleh Ernst Nathorst-Böös, Marcus Zetterquist dan Pelle Jubel. 

Perisian Reason yang pertama iaitu Reason versi 1.0 telah diperkenalkan pada November 2000, dan telah berkembang kepada versi-versi yang lain dengan penambah baikan kandungan perisian. Perisian Reason terdiri daripada alat-alat perlengkapan audio maya yang dikenali sebagai modul.

Modul-modul ini diprogram dan direka dengan bentuk fizikal yang hampir sama dengan alat-alat perlengkapan audio yang sebenar, seperti alat sintesis (synthesizer), pemprosesan isyarat (signal processor) dan sebagainya. Modul-modul disusun bertingkat-tingkat didalam sebuah rak yang dikenali sebagai rak audio (audio rack), dan ia sama seperti yang terdapat didalam sebuah studio rakaman audio sebenar. 

Alat-alat perlengkapan audio yang terdapat didalam perisian Reason, boleh disambung dan diguna ke dalam perisian aplikasi sekuenzer MIDI yang lain, seperti Pro Tools, Cubase, Logic Pro dan sebagainya melalui protokol ReWire Propellerhead. Kini, Reason telah dilengkapi dengan pelbagai jenis alat perlengkapan audio, yang digunakan didalam studio rakaman audio terkini. Dengan adanya perisian sebegini, kos, masa, dan ruang yang diambil untuk menghasilkan sesebuah muzik berkurangan. 

(Ulasan)
Ainol Naim B. Azizol.
Jun 2009