Monday, August 3, 2009

Rebana (Alat Muzik Tradisional Melayu)

Rebana ialah alat muzik jenis genderang dan dikategorikan sebagai alat muzik membranofon. Alat muzik ini terdiri daripada satu bingkai berbentuk bulat, separa kon seperti cawan atau mangkuk dan mempunyai saiz ketebalan dan diamater yang berbeza. Bingkai rebana diperbuat daripada kayu nangka, kelapa, sena atau merbau dan kebiasaanya, kayu nangka menjadi pilihan utama kerana kayu tersebut lebih berkualiti. Rebana mempunyai satu permukaan kulit gendang dan kulit tersebut adalah kulit lembu atau kambing. Kulit gendang ini dikenali sebagai belulang (kulit haiwan yang kering). Belulang ini diikat dan diregang dengan siratan rotan dan diikat pada bahagian bawah bingkai. Ketegangan belulang dikemaskan dengan pasak-pasak kayu yang diselitkan pada celah-celah rotan antara cincin (rim) dan bawah bingkai (juga dikenali sebagai kaki bingkai). Kualiti bunyi dan nimonik yang dihasilkan oleh sesebuah Rebana bergantung kepada saiz, ketebalan bingkai, jenis kulit dan kayu serta cara paluan tangan. Kebiasaanya rebana terdiri daripada beberapa pasang dan menghasilkan rentak yang bertelingkah. Rebana dimain dengan paluan tangan dan rebana bersaiz besar seperti Rebana Ubi dimain dengan menggunakan pemukul kepala berbalut kain atau getah. Rebana digunakan untuk mengiringi lagu-lagu budaya.
Terdapat pelbagai jenis rebana, antaranya ialah :

a) Rebana Ubi :
Merupakan sejenis rebana bersaiz besar dengan ukuran 0.7m diamater dan 1m tinggi. Rebana jenis ini biasanya dimainkan oleh penduduk kampung untuk keraian selepas menuai padi atau festival pertandingan dan juga upacara atau majlis perasmian tertentu. Rebana ubi ini dimain secara bertelingkah dan menggunakan pemukul dengan kepala berbalut kain atau getah. Rebana ubi ini dimain secara mendatar atau mengereng. (Matusky, 1985). Rebana Ubi turut dihiasi dengan pelbagai warna dan corak-corak seperti batik. Disebabkan saiz rebana tersebut besar, kualiti bunyi yang dihasilkan oleh Rebana Ubi adalah rendah, tebal dan kuat.

b) Rebana Kercing / Tar Rodat :
Sejenis rebana bersaiz kecil dengan 3 pasang kerincing / kercing (jingles) yang diperbuat daripada logam tembaga dan terletak pada bahagian tengah bingkai. Rupa rebana ini seperti tambourine dan “Tar” bermaksud gendang didalam bahasa Arab, Mesir serta komuniti Teluk Timur Tengah. Ia menunjukan bahawa alat muzik ini berasal dari sekitar kawasan tersebut (Nik Mustapha, 1998). Rebana Kercing ini dimain dengan paluan satu tangan pada permukan kulit gendang.

c) Rebana Penganak :
Rebana Penganak datang didalam bentuk pasangan yang terdiri daripada Rebana Ibu (bersaiz besar) dan Rebana Anak (bersaiz kecil). Ketegangan belulang (kulit genderang) ini ditambah dengan menyelitkan sebatang rotan halus antara cincin (rim) dengan bingkai (badan) pada bahagian dalam bingkai. Rotan tersebut diselitkan dengan bantuan baji (sejenis sisip kayu yang tirus) yang akan membuka ruang antara belulang dengan cincin. Rebana ini dimain dengan paluan dua tangan dan diletakan pada bahagian peha pemain. Rebana Ibu menghasilkan ton bunyi yang rendah dan sederhana tinggi (bass), manakala Rebana Anak menghasilkan ton bunyi yang tinggi. Rebana ibu menyediakan rentak asas, manakala Rebana Anak memainkan rentak yang laju dan ritma yang diimprovisasikan atau dikenali sebagai "bunga". Ritma yang kompleks dan bertelingkah, dihasilkan oleh kedua-dua rebana tersebut.

d) Rebana Pengerum :
Rebana Pengerum terdiri daripada 10 atau 8 buah Rebana. Cara rebana ini dimainkan adalah sama seperti Rebana Penganak. Pemain akan memainkan rebana sambil menyanyi. (Nik Mustapha, 1998).

e) Rebana Dikir Barat :
Terdiri daripada dua jenis Rebana iaitu Rebana Ibu (bersaiz besar) dan Rebana Anak (bersaiz kecil). Rebana Dikir Barat menggunakan belulang kambing yang dipasang pada bingkai atau badan dengan siratan rotan dibawah rebana (kaki). Ketebalan bingkai rebana ini tidak begitu tebal (0.13 – 0.15m) dan permainan Rebana Dikir Barat ini mestilah terdiri daripada pasanganya iaitu Rebana Ibu dengan Rebana Anak. Rebana Ibu kebiasaanya akan memainkan rentak asas, manakala Rebana Anak akan memainkan rentak yang lincah dan laju. Rentak yang dihasilkan oleh kedua-dua rebana ini sentiasa bertelingkah. Rebana-rebana ini dimainkan dengan paluan satu tangan. Selain dimainkan didalam muzik Dikir Barat, rebana ini turut dimainkan didalam muzik tarian Main Putri. (Nik Mustapha, 1998)

Kini, rebana telah diubahsuai bagi memudahkan pemain untuk bermain dan juga menyesuaikan alat muzik tersebut untuk dimainkan didalam muzik-muzik genre lain. Rebana moden tidak menggunakan belulang (kulit haiwan kering-gendang), dimana belulang ini digantikan dengan kulit gendang sintetik dan kulit gendang ini diapitkan dengan rim (sejenis kepingan logam seperti cincin besar). Rim ini disambung dengan rod penegang (tension rode) dan pemegang cuping (lug). Alat-alat baru yang ditambah ini adalah sama yang terdapat pada sesebuah gendang snare atau gendang tom. Ketegangan kulit gendang ini diubahsuai sama seperti penalaan (tuning) gendang snare atau tom. Dengan menggunakan kulit sinstetik ini, ketegangan kulit boleh diubahsuai dengan mudah, tahan dengan pelbagai suhu dimana ton bunyi rebana ini tidak mudah untuk berubah dan kekuatan bunyi yang dihasilkan adalah kuat tetapi, bilangan nimonik yang boleh dihasilkan adalah kurang jika dibandingkan dengan rebana tradisional.

(Ulasan)
Ainol Naim B. Az
izol
Ogos 2009

1 comment:

  1. boleh tak share kaedah penggunaan rebana ibu&anak.terima kasih

    ReplyDelete